Cari Blog Ini

Motivasi 1

BAGAIMANA MENGATASI MENGANTUK
Foto: Nama jejaka ini Ravi, 20 tahun belajar di Fakulti Undang-Undang UKM. Dia mengikut saya dan rombongan Misi Kemanusiaan seramai 17 orang ke Aceh selama seminggu pada Januari 2009. Dia suka sangat tidur. Ini gambar dalam labi-labi (macam van mini di Aceh). Sempat dia tidur?


ANDA RATU / RAJA MENGANTUK?

Anda seorang pelajar. Anda sering mengantuk sebaik memulakan membaca. Anda juga sering tertidur waktu kuliah.

Anda seorang eksekutif di pejabat. Anda sering tersenggut-senggut di meja.

Anda juga sering tertidur waktu berdiskusi dengan pelanggan. Apa lagi ketika menonton TV, membaca akhbar atau dalam bas atau pesawat (kecuali anda memang merancang untuk berehat dalam perjalanan yang jauh).

Bagaimana anda ketika berada di dalam sebuah kereta yang dipandu oleh orang lain? Amat tidak menasabah anda tidur dalam keadaan orang itu bersusah payah memandu. Jika anda sendiri yang memandu dan anda tertidur selama 3 saat, anda mengundang maut.

JADI BAGAIMANA MENGATASI MENGANTUK?

1. Dapatkan tidur yang cukup. Berapa jam? 5 jam semalam sudah memadai - dari jam 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi. Tetapi anda sering tidur hingga 8 jam. Ini bermakna anda kerugian 3 jam sehari (1/8 hari). Jika anda berusia 24 tahun ini bermakna anda telah kerugian 3 tahun!

2. Jika anda terlalu letih dan memerlukan penumpuan di sebelah petang, tidurlah 30 - 45 minit sebelum waktu Zohor (tidur Qailullah - ini sunah Rasulullah SAW). 1 jam tidur Qailullah menyamai 3 jam tidur malam.

3. Bila anda belajar atau bekerja, anda mesti bersedia untuk melakukan 2 kerja:
a) Kerja utama.
b) Kerja sokongan yang aktif.

Sebaik anda mula mengantuk, terus lakukan kerja sokongan. Contoh kerja sokongan:
a) Mencari rujukan.
b) Menyusun fail atau data.
c) Bangun dan berkomunikasi sebentar dengan kawan atau rakan sejawat.
d) Mencari bahan dari Internet.

4. Lakukan aktiviti yang memerlukan pergerakan seperti:
a) Melakukan kerja sambil berdiri atau berjalan.
b) Melihat pemandangan hijau yang saujana melalui tingkap atau keluar bangunan.
c) Mengemas bilik pejabat atau bilik belajar sebentar.

5. Buat secawan kopi panas.

6. Berwuduk dengan memasang niat untuk menghalau syaitan.

7. Membaca akhbar (jangan lebih dari 10 minit).

8. Buat senaman setempat untuk meregangkan otot-otot yang letih seperti:
a) Meramas dan menggerakkan jari tangan dan kaki.
b) Menggerakkan bahu dan leher.
c) Meregangkan lengan.

IBU MENGELAKKAN MENGANTUK

Tanamkan motivasi yang tinggi untuk menyiapkan kerja anda dengan pencapaian yang paling cemelang. Anda hendaklah mengejar masa yang ada. Seolah-olah anda tidak ada masa untuk berpaling ke kiri dan ke kanan. Lakukan banyak item dalam masa yang singkat.

MAKANAN YANG MENYEBABKAN MENGANTUK

1. Makan pagi yang berat seperti nasi (makanan ini sesuai jika anda hendak bekerja keras seperti ke sawah atau ke ladang).
2. Nasi pulut.
3. Makan tengah hari yang berat.

MAKAN PAGI UNTUK MENGELAKKAN MENGANTUK

1. Bijirin yang mudah hadam dan memberi banyak tenaga.
2. Fresh orange.
3. Buah-buahan.
4. Air mineral.
5. Susu memeberi anda tenaga.

MENGELAKKAN MENGANTUK KETIKA KULIAH ATAU DISKUSI

1. Fokus.
2. Masukkan minat yang mendalam.
3. Catat menggunakan peta minda.
4. Pastikan anda mendengar dengan jelas.
5. Baca fikiran pensyarah atau pasangan diskusi anda.
6. Keluarkan pengalaman atau pengetahuan lalu sebagai input perbincangan semasa.

MENGELAKKAN MENGANTUK KETIKA DALAM KERETA

1. Mulakan topik perbualan atau perbincangan.
2. Kenali semua orang di dalam kereta tersebut.
3. Pandang jauh keluar.
4. Beri komen apa yang anda lihat di luar kereta.
5. Elakkan membaca ketika di dalam kereta.
6. Pasang muzik, radio atau bahan audio kegemaran anda. Mengapa anda tidak membelanjakan sedikit wang untuk membeli CD motivasi oleh motivator antarabangsa.
7. Anda boleh menghafal al-Quran menggunakan CD berkaitan.
8. Bayangkan aktiviti dan kegembiraan yang anda akan lalui di penghujung perjalanan.

ANDA MASIH MENGANTUK?

Itulah kelemahan makhluk manusia berbanding malaikat yang tidak pernah mengantuk dari mencatat setiap detik kebajikan dan dosa yang kita lakukan. Malaikat juga tidak pernah mengantuk dan letih dalam menarik matahari dan bulan mengikut orbit peredarannya.
Sampaikan malaikat juga tidak pernah mengantuk dari menggerakkan bulu mata kita ketika ada serangga yang terbang ke arahnya atau mengantuk ketika menggerakkan jantung dan darah kita ke segenap sel di tubuh badan.

Sedangkan anda? Kadang-kadang ketika memegang sebatang pen pun boleh terjatuh kerana mengantuk!

Kenapa orang sering tidak suka dengan anda? Tidak ramai orang yang mahu berkawan dengan anda. Bukan kerana anda miskin. Atau anda berwajah hodoh. Tak lain kerana sikap anda!

Sikap menentukan siapa diri kita sebenar. Sikap ialah tabiat semula jadi kita, darah daging kita. Kita tidak dapat berbohong dengan sikap kita sendiri. Sikap kita sentiasa terserlah apabila kita berhadapan dengan orang lain.

Sekarang anda cuba bina sikap yang baik dengan semua orang. Jangan bertahan dengan sikap tamak dan buruk kita. Jangan bertahan dengan dunia yang sedikit yang tidak mampu dibawa ke mana-mana. Dunia yang sedikit tidak mampu pun untuk menyelamatkan kita dari sakit, lebih-lebih lagi dari mati. Dunia yang sedikit tidak mampu menahan kita dari menjadi tua, lemah dan tidak berdaya: fizikal dan mental.

Jadi juallah dunia ini untuk menjadi orang yang disukai orang lain. Bagaimana?

1. Utama kepentingan orang lain. Diri kita kemudian.
2. Senyum dengan semua orang. Tegur dan sapa mesra mereka.
3. Belanja orang lain makan atau minum.
4. Jemput orang ke rumah. Jangan rendah diri dengan keadaan rumah kita yang sederhana.
5. Beri hadiah pada orang walaupun barangan yang murah harganya.
6. Beri nasihat yang baik kepada orang, walaupun diri kita tak sebaik mana.
7. Memahami "body language - bahasa badan" yang diisyaratkan orang kepada kita. Jangan buat-buat tak faham.
8. Merendah diri. Pepatah Melayu ada menyatakan: "Ular menyusur akar takkan hilang bisanya." Diri anda tak kurang apabila anda merendah diri. Malah orang lebih suka.
9. Buat baik dengan kanak-kanak, orang tua, orang miskin dan mangsa bencana alam.
10. Kurangkan menggunakan perkata 'aku'. Lebih gunakan perkataan 'kita'.
11. Jangan membawa kereta dengan laju di kawasan orang ramai.
12. Elakkan "favour" untuk diri sendiri. Banyakkan "favour" untuk orang lain.
13. Jangan sakitkan hati orang lain.
14. Jangan ada niat dalam hati untuk susahkan orang lain.
15. Tanamkan sifat ikhlas.
16. Jaga bau badan dan bau mulut. Orang yang berhati busuk kekadang mengeluarkan bau badan dan bau mulut.
17. Telus dalam bertindak dan mengurus orang bawahan.

Orang yang disukai oleh ramai orang disukai Allah SWT. Jika ramai orang suka kita, hati kita berada di dalam keadaan positif, produktif dan aman damai. Sebahagian dari tenaga kita tidak susut kerana digunakan untuk berhadapan dengan kesusahan yang dilakukan oleh orang lain. Tenaga produktif ini boleh digunakan untuk faedah yang bermanfaat.

Kerja anda bertangguh-tangguh? Tak siap-siap? Ini petuanya:

1. Mulakan sekarang juga. Pepatah Cina ada mengatakan, "Perjalanan jauh bermula dengan langkah pertama."
2. First thing first. Selesaikan kerja terdahulu.
3. Selesaikan kerja yang pendek dan rengkas dahulu.
4. Pecahkan kerja yang panjang kepada beberapa bahagian. Mulakan buat bahagian pertama. Anda lihat bagaimana jentolak mula mendaki gunung untuk menolak tanah yang paling atas. Dalam masa dua tahun gunung yang gagah dibelah dan lebuh raya terbentang.
5. Gunakan masa yang pendek untuk berbuat sesuatu. Misalnya bangun awal sebelum masuk waktu Subuh atau anda ada 10 minit sebelum pergi kerja.
6. Buat senarai: THINGS TO DO TODAY. Potong yang telah dilaksanakan. Bawa ke esok task yang belum dilaksanakan.
7. Tandakan kerja anda kepada 4 kategori:

1. Penting dan mesti siap sekarang. Misal masuk kerja jam 9.00 pagi, memenuhi deadline.
2. Penting tetapi boleh ditangguhkan. Misal ziarah mak di kampung, mula tulis buku baru.
3. Kurang penting tetapi mesti buat sekarang. Misal breakfast sebelum masuk kerja, bercukur, gosok baju, dll.
4. Kurang penting dan boleh ditangguhkan. Misal shopping, mulai hobi baru.

8. Kalau anda ada masa 4 jam pada pagi Sabtu, rancang untuk laksanakan 4 kerja besar.
9. Hilangkan keraguan melaksanakan sesuatu kerja. Anda sebenarnya memang mampu. Jika tidak orang tak memberi kerja itu kepada anda.
10. Lerai halangan untuk melaksanakan sesuatu kerja itu satu persatu. Memulakan kerja semudah membuka kulit pisang. Ada 5 langkah:

* Patahkan tunggul tangkainya.
* Kopek bahagian kulit yang pertama.
* Kopek bahagian kulit yang sebelah lagi.
* Selesaikan kopek kulit.
* Sekarang anda dah boleh makan pisang itu.

Kalau anda tidak mulakan mematahkan tunggul tangkai, sampai bila pun anda tidak dapat makan pisang. Tak mungkin anda membaham pisang dengan kulit-kulitnya!
11. Menangguhkan kerja di atas meja anda seperti anda menangguhkan menggosok gigi waktu pagi. Lama-lama mulut anda akan penuh dengan tahi gigi.
12. Anda boleh ambil kerja baru. Seperti empangan. Bila hujan, air yang dialirkan keluar mesti lebih besar. Kalau anda ambil kerja baru, kadar melaksanakan kerja dan masa untuk melaksanakannya harus lebih lama.
13. Telus dalam memberi alasan mengapa kerja tertangguh. Anda akan belajar supaya lebih ikhlas dan lebih bertanggungjawab.
14. Belajar berkata "No" jika ada kerja baru mendatang yang tak sanggup anda laksanakan.
15. Gantungkan kerja, jangan tempekkan. Lihat bagaimana kertas catatan pesanan makanan anda di restoran digantung menggunakan penyepit baju. Walau bagaimana ramai pun pelanggan, namun akhirnya pesanan anda akan sampai juga.

Anda pernah dengar 'COACHING' atau 'COACH'?
Coaching ialah 'melatih' atau 'mengajar'. Coach ialah 'pelatih' atau 'pengajar'.

Anda pernah dengar 'MENTORING' atau 'MENTOR'?
Mentoring ialah 'menasihat'. Mentor ialah 'penasihat'. Lawannya 'MENTEE' atau 'PROTEGE' iaitu 'orang yang dinasihati'.

Apa beza 'COACHING' dengan 'MENTORING'?

Dalam 'coaching' anda disuruh arah. Coach cuba mendidik dan membentuk diri anda.

Dalam 'mentoring' anda mengeluarkan potensi dari diri anda sendiri. Mentor cuma memandu atau mencadangkan kepada anda. Kita mencari jawapan sendiri. Kita membuat pengakuan dan berjanji dengan diri sendiri.

Dalam 'coaching' jurulatih menyuruh anda berbuat sesuatu, kita tidak ada pilihan: mahu tak mahu kita kena buat. Jika tidak kita kena marah dan kena hukum atau denda. Kita tidak ada pilihan untuk tidak bersetuju atau membangkang. Kadang-kadang kita terpaksa bersetuju. Kita buat dengan hati yang berat. Jasmani kita atau badan fizikal kita melakukannya dengan susah payah. Kita cepat letih. Kita juga cepat lupa. Cepat bosan.

Dalam 'mentoring' kita membuat pengakuan apa yang kita hendak. Setinggi mana impian kita. Kita letakkan sasaran kita. Kita mencari jalan bagaimana mencapainya. Mentor akan bertanya,"Bagaimana kamu nak mencapainya?". Kita jawab sendiri kemampuan kita. Antara 0-10 berapa anda beri diri anda grade.

Sebelum masuk tidur malam cuba bayangkan apa yang anda hendak lakukan keesokkan hari? Tidurlah awal dengan aman. Dan ketika bangun tidur keesokan hari, apa rasa anda? Adakah anda berasa perubahan terhadap semangat dan motivasi diri anda?

Apakah anda telah mendapat jawapan terhadap bagaimana anda hendak mencapai sasaran anda? Antara 0-10 berapa anda anugerah diri anda pada pagi tersebut? Apakah:

* Lebih baik?
* Sama sahaja?
* Lebih rendah?

dari semalam. Mulailah hari anda untuk mencapai sasaran anda.

Sekarang anda telah faham perbezaan antara Coaching dan Mentoring?

* Mentoring menumpu kepada individu. Coaching menumpu kepada pelaksanaan misi.
* Mentoring ialah fasilitator tanpa agenda. Coaching ada agenda khas.
* Mentoring memilih diri sendiri. Coaching dengan tugasan.
* Mentoring menerima nilai. Coaching menerima kedudukan.
* Mentoring seluas kehidupan. Coaching hanya berkaitan tugas.
* Mentoring pengesahan atau pembelajaran. Coaching kerja kumpulan atau pelaksanaan.

Inilah yang saya dapat daripada Encik Shaker Mustafa FinstPM, seorang Performance Consultant dan Certified Professional Executive Master Coach Manager dari Shaker Sdn Bhd yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Beliau datang bertemu saya di pejabat untuk menerbitkan buku terbarunya "COACHING DAN MENTORING DI PEJABAT".

Sebagai seorang editor dan penerbit, saya ditanya apakah impian saya dalam kerjaya. Saya jawab ada tiga:

1. Menerbitkan buku tahap 'world class.'
2. 'Kesilapan sifar' bagi semua buku yang saya terbitkan walaupun satu titik.
3. Menjadi 'market leader' dalam masa dua tahun lagi.

Beliau seterusnya bertanya, "Bagaimana saya hendak mencapai sasaran itu?"

Kata saya, 3 cara:

1. Menghadiri ekspo buku antarabangsa atau kursus profesional di luar negara.
2. Meng'duplikat' diri saya menjadi 3 atau 4 atau 5 orang "Haji Muhammad Zakaria."
3. Menguatkan 'team work - kumpulan kerja', di kalangan tenaga pengeluaran dan pemasaran.

Tanpa saya sedari beliau telah memulakan sesi mentoring terhadap saya. Dia bertanya,"Antara 0-10 berapa grade yang saya beri terhadap diri saya sekarang?"

"6.5"

Esoknya saya 'on the air' di TV3 jam 7.30 pagi. Isu: "GAWAT EKONOMI GAWAT KELUARGA." Keluar sahaja dari studio di One Utama saya terima satu SMS:

"Shaker di sini, Master Coach. Wah bukan main handsome lagi. Tuan Haji jawap tepat dan padat apa yang Ally tanya. Berapa grade yang tuan Haji beri pada diri Tuan Haji waktu bangun pagi tadi?"

"7.5"

Shaker membalas:

"Tahniah. Ada peningkatan (dari 6.5)"

Petang itu kami berjumpa lagi di sebuah restoran mamak di Ampang Point untuk sesi mentoring selanjutnya. Encik Shaker datang dengan seorang kawannya, juga seorang coach, menaiki Mercedes 280S hitamnya.

GAWAT EKONOMI GAWAT KELUARGA
Tidak benar sama sekali!

Ekonomi ialah pusingan kegiatan manusia sejagat yang berkala dan bermusim sedangkan keluarga yang kita bentuk ialah satu institusi yang stabil dan berterusan hingga membentuk generasi baru.

Kegawatan ekonomi jangan menggugat keharmonian keluarga anda.

Apa yang berlaku apabila ekonomi gawat?

* Mungkin kehilangan pekerjaan.
* Kekurangan sumber pendapatan.
* Anda terpaksa berhutang.
* Kos hidup meningkat.

Bagaimana menangani kegawatan ekonomi?

* Jimat berbelanja, beli yang asas sahaja.
* Buat kerja tambahan untuk meraih pendapatan kedua atau ketiga. Tahukah anda orang sekarang sedang mencipta pendapatan keempat dan kelima! Ada yang pendapatan sentiasa mengalir ke dalam akaun walaupun dia sedang tidur waktu malam!
* Jual aset yang tidak perlu buat sementara waktu.
* Berhenti hobi dan aktiviti yang tidak perlu.
* Tinggalkan gaya hidup mewah.
* Belanjakan tabungan atau wang simpanan dengan berhemah.

Bagaimana kalau anda dibuang kerja?

* Cari kerja lain walaupun bidang yang berlainan. Dapatkan kemahiran baru. Tahukah anda bahawa akal kita mampu untuk memiliki sehingga 120 jenis kemahiran. Anda baru memiliki berapa jenis kemahiran?
* Sanggup bermula dari bawah walaupun gaji kecil.
* Sanggup bekerja ikut syif.
* Isteri yang tidak bekerja carilah kerja untuk membantu pendapatan suami.

Peranan isteri dan anak-anak:

* Fahami kondisi dan situasi suami dan bapa anda.
* Jimat berbelanja: Makanan, pakaian, api, air, perbelanjaan harian, pengangkutan, yuran persekolahan, telefon bimbit, dll.
* Beri sokongan moral dan material kepada suami dan bapa.
* Sama-sama bersusah menempuh saat getir.

Ingat! Kegawatan ekomoni tidak akan berpanjangan. Bila kemarau berakhir, hujan akan turun.

Remaja kini ramai yang telah berjaya menghasilkan blog yang cemerlang. Anda menyorot cerita yang menarik minat ramai orang. Ini bermakna anda telah mempunyai pengikut. Idea anda bernas. Ada yang mengusik hati. Banyak yang bermanfaat. Anda berjaya mencuit hati pembaca.

Tahukah anda bahawa blog anda sangat berpotensi untuk menghasilkan sebuah buku. Buku motivasi pertama anda.

"Ah! Aku terlalu muda untuk menghasilkan sebuah buku."

Anda silap. Seorang pelajar wanita Tionghua berusia 14 tahun belajar dalam tingkatan dua di Kuala Lumpur telah menghasilkan 8 buah buku tentang alat permainan tradisional. Dato' Lat menerbitkan komiknya yang pertama ketika berusia 9 tahun.

Karya pertama saya disiarkan melalui Radio Singapura ketika saya berusia 9 tahun. Ketika itu Radio Singapura lebih popular dari RTM. Ketika berusia 10 tahun karya saya tersiar dalam akhbar Berita Harian. Tahun berikut saya menulis dalam majalah Mastika, Dewan Pelajar dan Utusan Pelajar. Hari ini saya sedang menyiapkan buku saya yang ke-25.

SALAHKAH BUDAYA BARAT?
Budaya ialah identiti sesuatu kaum atau masyarakat. Masyarakat meniru sesuatu kaum kerana pengaruh kaum itu dominan atau kaum itu dianggap maju atau menjadi ikon.

Penyebar budaya ialah penjajahan, media dan pelancongan.

Budaya Barat yang kita ikut ada 3 keadaan:

1. Yang menyentuh ibadah:
Haram diikut.
Misal: Perbuatan yang menyerupai ibadah seperti perbuatan, pakaian, tempat bagi agama lain.

2. Yang berkaitan ilmu, kemajuan dan teknologi:
Harus diikut kerana semua ilmu dan perkembangan ilmu itu pada kakikatnya semua dari Allah belaka.

3. Yang berkaitan ketamadunan, budaya, kehidupan seharian & akhlak:
Harus diikut selagi tidak menyalahi syariat dan tidak memudaratkan diri dan orang lain dan dari segi moralnya tidak bertentangan dengan budaya sendiri. Misal budaya kerja, keprihatinan, sikap untuk cemerlang, motivasi dan daya saing.

Pertentangan Barat ialah pertentangan pada akidah dan ibadah. Selain itu nilai sama.

Islam mengajar sunnah Rasulullah SAW menjadi budaya. Orang Barat sendiri menukar budaya mereka mengikut sunnah apabila menganut agama Islam.

Budaya yang merosakkan misalnya budaya hedonisme (hiburan), seks bebas, pemujaan material dan pepecahan sifat kekeluargaan.

BUDAYA MELAYU HARI INI SEBAHAGIANNYA TERBENTUK SELEPAS KEDATANGAN ISLAM. Budaya yang bertentangan dengan Islam tetap tertolak.

PERMATA HATI
KENAPA DIPANGGIL"PERMATA HATI"?

Permata ialah sejenis galian yang boleh dijadikan barang perhiasan yang sangat berharga, cantik dan bermutu tinggi. Hati ialah raja pada diri. Jadi "permata hati" ialah anak atau zuriat yang dianugerah Allah yang sangat tinggi nilainya, mulia darjatnya dan sempurna kejadiannya.

Kita harus mengakui akan keistimewaan seorang anak yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita. Potensi seorang anak melebihi harta benda, wang ringgit, pangkat dan status. Dan anak juga yang akan mewarisi sisa-sisa perjuangan kita di atas muka bumi ini.

Apabila kita meninggal dunia, maka terputuskan hubungan kita dengan dunia kecuali jika mempunyai anak yang soleh yang mendoakan kita serta melakukan amal soleh yang mengalir pahalanya.

APA KAITAN MENJAGA PERMATA DENGAN MENDIDIK ANAK?

Orang menyayangi permata dan menjaganya dengan bersungguh-sungguh. Orang sanggup mati demi mempertahankan permatanya dari dirampas orang. Disimpannya permata di tempat yang paling selamat dan paling istimewa. Orang sanggup berbelanja berapa sahaja asal permatanya selamat.

Anak seharusnya mendapat layanan yang lebih istimewa kerana anak berpotensi lebih tinggi daripada permata. Anak hidup sedangkan permata mati. Anak yang soleh menjadi milik kita selepas meninggal dunia sedangkan permata akan jatuh ke tangan orang lain.

Sebab itu kita harus sanggup berbelanja berapa sahaja untuk melahirkan anak yang soleh. Jagalah anak lebih daripada menjaga permata. SAYANGILAH ANAK LEBIH DARIPADA KITA MENYAYANGI PERMATA ATAU WANG RINGGIT. Letakkan anak di tempat yang mulia dan tinggi.

Jagalah kehormatan diri anak gadis kerana dia insan yang mulia di sisi Allah SWT. Jangan jadikan diri anda lebih hina dari orang Arab jahiliah yang membenci anak perempuan dan mengagungkan anak lelaki.

Orang yang tidak mendidik anaknya dengan sempurna seperti meletakkan sebutir permata di dalam longkang. Amat tidak wajar sekali. Orang yang tidak menjaga keselamatan anaknya seperti meletakkan permata di tepi jalan untuk dicuri penjahat.

APA PERBEZAAN MEMILIKI ANAK YANG RAMAI DENGAN HARTA YANG BANYAK?

Bergembiralah memiliki anak yang ramai. Anak anugerah Allah SWT. Berapa ramai orang yang berkahwin inginkan menimang cahaya mata, namun Allah SWT tidak menganugerahkan anak kepada mereka. Dan berapa ramai orang yang tidak mahukan anak lagi, namun saban tahun mereka tetap mendapat cahaya mata baru.

Ini menunjukkan bahawa anak itu rezeki yang kita tidak tahu puncanya. Bukan kehendak kita. Allah SWT yang menghendaki dia lahir ke dunia. Sebab itu Allah SWT akan menjamin rezekinya, jodohnya dan ajalnya.

Kalau seandainya Allah SWT mengambil nyawa anak kita ketika kecil, itu juga bukan kehendak kita dan bukan dalam kuasa kawalan kita. Anak milik Allah dan Allah berhak mengambilnya kembali.

Harta yang banyak menyusahkan kita kerana wajib menjaganya. Kadang kala orang membunuh kita kerana mahu merampas harta kita. Harta yang tidak ditadbir dengan sempurna akan menyusahkan kita seperti wang yang disimpan di dalam bank akan memberi kita hasil riba yang haram digunakan.

Harta yang banyak juga akan menyebabklan anak-anak berkelahi, kadang-kadang ketika jenazah kita masih terbujur di tengah rumah. Harta yang banyak juga akan menyebabkan kita membazir serta dihisab oleh Allah SWT.

SAHABAT BAGINDA ABDUL RAHMAN BIN AUF IALAH SALAH SEORANG SEPULUH SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA, NAMUN BELIALAH ORANG YANG PALING AKHIR MASUK SYURGA KERANA LAMANYA MASA UNTUK MENGHISAB HARTANYA SATU PERSATU. Itupun semua hartanya halal. Betapalah jika ada harta yang haram. Sudah tentu tidak masuk syurga.

Sebaliknya anak yang ramai akan menjaga ibu dan ayahnya apabila berada pada usia lanjut nanti. Rasulullah SAW suka umatnya yang ramai. Jika kita ramai anak, peluang untuk memiliki anak-anak yang soleh lebih cerah.

MELENTUR AUR DARI REBUNG
Apa yang dimaksudkan "melentur aur dari rebung"?

Aur ialah sejenis pokok buluh yang hidup di tepi sungai. Kalau kita hendak membengkokkan pokok buluh, hendaklah dilakukan sejak rebung (anak buluh). Seperti juga kita membentuk pokok bonsai. Kalau sudah menjadi pokok buluh, tidak boleh dilentur lagi kerana sudah keras. Jika dilentur juga, buluh akan patah.

Maknanya untuk mendidik anak hendaklah bermula dari kecil. Jika tidak dididik dari kecil dia akan membesar tanpa didikan yang sempurna. Apabila dewasa, susah mahu diasuh. Jika berkeras juga dia akan melawan, menderhaka atau lari dari rumah.

Setakat mana ketegasan kita mendidik anak?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Anak dilahirkan suci bersih. Ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Maknanya kita hendaklah sangat tegas dalam mendidik anak. Tidak boleh bertoleransi. Jangan dibiarkan anak mencari jalan sendiri. Istiqamah (tetap adil) menghukum. Kita membentuk anak dengan acuan yang kita tetapkan. Misalnya jika kita mahu anak kita menjadi seorang hafiz atau hafizah, kita yang menentukan iaitu dengan mengajar mereka al-Quran sejak kecil atau menghantar mereka belajar ke institusi yang mendidik ke arah itu.

Jangan teragak-agak hendak mendidik anak dengan alasan dia masil kecil atau kesihan dia yang lemah atau keletihan. Misalnya teragak-agak mengejutkan anak untuk solat Subuh jika anak itu telah berusia tujuh tahun dengan alasan dia belum cukup tidur. Atau teragak-agak untuk mengejutkan anak yang tertidur tanpa solat Isyak.

Anak yang melakukan kesalahan hendaklah dihukum dengan hukuman yang setimpal. Misalnya jika anak tidak solat ketika berusia sepuluh tahun hendaklah dirotan dengan tujuan untuk mengajarnya tetapi jangan sampai mencederakannya.

Bagaimana mendidik anak remaja yang kurang asuhan?

* Tunjukkan kasih sayang, jangan disisihkan.
* Ajak berbincang dengan rasional, jangan berleter.
* Ajak bersama apabila berpergian atau keluar daerah.
* Ajak bekerja bersama-sama, bukan menyuruharahnya.
* Beri kerja dengan ikhlas, bukan menyindirnya.
* Tidak membezakan layanan daripada anak-anak lain yang masih kecil (adiknya).
* Jangan merendah-rendahkan kemampuannya. Sebenarnya anak remaja mempunyai kemampuan yang tinggi dalam bidang-bidang tertentu.
* Beri peluang atau lantik menjadi ketua mengepalai sesuatu tugas atau sesuatu kumpulan.

MENGAPA ANDA MESTI BERBOHONG?
Mengapa anda sering berbohong? Mengapa mesti berbohong? Perkara-perkara yang kecil dan mudah anda masih mahu berbohong. Kerana anda rasa berbohong itu bukan satu kesalahan.

Anda juga berasa:
"Aku bukan menyusahkan orang."
"Aku tidak mengambil hak orang."
"Aku bukan nak menipu orang lain."

Benar, tanpa anda sedari sebenarnya anda:
"Menyusahkan orang berfikir kerana bertindak balas lain daripada yang sepatutnya kerana anda."
"Anda mengurangkan keyakinan orang terhadap anda."
"Anda menipu diri anda sendiri."

Hukuman kepad orang yang suka berbohong:

* Cepat tua - wajah kelihatan lebih tua dari usia sebenar.
* Hilang keberkatan usia dan rezeki.
* Hilang seri muka.
* Kurang daya tahan mental.
* Lemah fizikal dan mudah dapat penyakit.

Tanda orang berbohong:

* Tidak mahu melihat atau bertentang mata dengan kita.
* Lambat menjawab soalan kita.
* Berfikir sebelum menjawab.
* Tergagap-gagap memberi alasan.
* Teragak-agak menjawab fakta.
* Berbuat lain dari apa yang dikatakan.

Kenapa orang mesti berbohong?

* Melindungi kelemahan diri lantas menyalahkan orang lain seperti apabila lambat ke pejabat dikatakan traffic jam.
* Ingin menonjolkan diri lantas mencipta cerita yang bukan-bukan.
* Mendapatkan habuan material seperti membuat tuntutan palsu daripada majikan.
* Tabiat dari kecil yang terasuh akibat melihat orang yang terhampir seperti ibu bapa atau pengasuh sering berbohong.

Bohong yang terkeji:

* Melaga-lagakan dua pihak.
* Mengadu domba.
* Menjatuhkan orang yang baik dan menaikkan orang yang tidak layak.
* Menzalimi pekerja atau orang bawahan.

Bohong yang diharuskan:

* Untuk melepaskan diri dari penzaliman, penyiksaan, murtad dan pembunuhan.
* Strategi peperangan untuk mempertahankan agama Islam.
* Mendamaikan dua pihak yang bermusuhan.

Cara mengelakkan berbohong:

Ceritalah dan jawablah perkara sebenar walaupun pahit untuk ditelan. Anda tidak akan rugi. Jangka panjang orang akan lebih mempercayai anda. Anda tidak perlu untuk mereka-reka sebab. Dengan tidak berbohong anda sedang menanam sifat "ikhlas" dalam jiwa anda. Orang yang ikhlas tidak dapat ditipu oleh syaitan.

Dengan tidak berbohong anda akan menjadi lebih produktif. Minda anda akan menjadi lebih cerah. Begitu juga seri wajah anda. Tenaga kerja anda akan meningkat berkali ganda kerana tidak lagi digunakan untuk mereka-reka helah atau mencari sebab yang tidak wujud.

Sifat Mazmumah

Berbohong ialah sifat mazmumah yang dibenci Tuhan. Orang yang berbohong akan menerima balasan di akhirat. Ingat: Ketika berbohong seluruh isi alam sedang mentertawakan anda kerana mereka tahu anda sedang berbohong. Di akhirat nanti mereka akan menjadi saksi. Sampaikan panca indera kita sendiri menjadi saksi pembohongan kita. Betapa tidak, ketika anda berbohong, kadang-kadang anak-anak kecil pun tahu anda berbohong! Malunya.

Anda masih mahu berbohong dengan manusia? Sedangkan berbohong dengan haiwan misalnya memperolok-olokkannya dengan memberi makanan kemudian tidak memberinya atau memberi makanan palsu dan sebagainya, dilarang Tuhan! Inikan pula berbohong dengan manusia.

BAGAIMANA MENJIMATKAN MASA?
Semua orang mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam. Menjimatkan masa ialah dengan menggunakan masa sebaik mungkin. Bagaimana?

1. Pendekkan masa anda membaca akhbar harian dari 60 minit menjadi 30 minit sahaja. Bagaimana?

* Baca sejenis akhbar sahaja.
* Baca tajuk besar dahulu.
* Lihat foto.
* Perhatikan gambarajah, jadual dan peta.
* Baca berita yang anda perlu tahu sahaja.
* Potong rencana yang bermanfaat dan simpan untuk dibaca kemudian. (Ingat: Kalau anda berhasrat untuk memotong rencana itu kemudian, anda tidak akan menjumpainya lagi!)
* Speed reading melatih anda untuk membaca dari atas ke bawah dan bukan dari kiri ke kanan.

2. Rengkaskan masa anda di bilik air dari 30 minit menjadi 12 minit sahaja. Bagaimana?

* Gunakan pisau cukur yang tajam.
* Gunakan berus gigi yang keras.
* Gunakan air dari kolah berbanding dari shower.
* Gunakan ketul sabun yang besar.
* Gunakan tuala mandi yang tebal.

3. Jika anda memakan buah-buahan setiap hari anda akan memendekkan masa anda qadal hajat pada pagi hari dari 15 minit menjadi 5 minit sahaja. Anda tidak ada masa untuk makan buah? Apabila minta roti canai di kedai mamak, anda mintalah roti pisang. Buah limau, oren atau tembikai juga boleh membantu anda. Buah-buahan banyak mengandungi serat yang baik untuk sistem penghadaman anda. Sembelit akan menjauhi anda.

4. Buat dua atau tiga kerja serentak, misalnya:

* On mesin basuh sebelum masuk ke bilik air.
* Menjerang air sebelum menggosok baju.
* Hidupkan enjin kereta dahulu sebelum menyapu halaman rumah sebelum pergi kerja.
* Merancang kerja harian ketika memandu ke pejabat.
* Menonton TV dari meja laptop anda di rumah atau memegang buku catatan atau buku bacaan ketika menonton TV.

5. Merancang kerja ke hadapan, bukan ke belakang.

6. Jangan menunggu tetamu sampai. Tetamu akan memberitahu apabila mereka sampai.

7. Game komputer sangat berhantu dan mencuri banyak masa anda!

8. Untuk menjadi produktif anda tidak wajar bergayut di telefon.

9. Buat kerja dengan laju, smart, teliti dan berkesan.

10. Tidur 5 jam sahaja sehari.

11. Bersukanlah (riadah) tidak lebih dari 1 jam sehari.

PENTINGKAH SUBJEK SEJARAH !

Penting sangat ke subjek sejarah?? Kalau penting kenapa tidak diwajibkan dalam pra syarat untuk ke Universiti?? Kenapa tidak diangkat kepentingannya setaraf dengan subjek sains dan matematik.

Aku tengok sekarang ini banyak generasi muda yang tak tau sejarah. Bila tak tau sejarah depa tak tau asal usul. Bila tak tau asal usul depa tak sedaq diri. Bila tak sedaq diri depa akan jadi kurang ajar.

Jadi kalau generasi sekarang kurang ajar, jangan salahkan mereka. Mereka tiada penghayatan sejarah. Mereka tidak ditekankan tentang kepentingan sejarah. Tengok saja macamana subjek sejarah dilayan. Seperti subjek nyamuk, subjek picisan. Tidak ada nilai. Apatah lagi kepentingan dan falsafah disebalik penceritaan sesebuah peristiwa sejarah. Tengok saja cara pengajaran subjek sejarah disekolah-sekolah. Stereotaip pengajaran dan pembelajaran sejarah ini perlu diubah bukan setakat menghafal dan mengingat. Ia pasti membosankan kepada individu yang berlainan keupayaan kognitifnya.

Bagi aku pengajaran dan pembelajaran sejarah perlu ditekankan dari aspek bagaimana untuk memahami falsafah disebalik sesuatu peristiwa. Bukan setakat menghafal dan mengingat. Pelajar patut di ajar berfikir dan menaakul bagaimana sesuatu peristiwa yang berlaku dulu mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan mereka pada hari ini.

Generasi materialistik tidak dapat menggunakan subjek sejarah untuk mencari keuntungan harta benda. Tidak ada hasilnya dari segi ringgit dan sen menjadi seorang patriotik. Hasilnya, mereka tiada kebanggaan dengan keunggulan ketamadunan bangsa apatah lagi hendak melestarikan ia. Mereka akan menjadi lebih liberal kerana tidak mahu dilihat konservatif. Tidak mahu dikatakan sentimental dan retrospektif.

Bila generasi buta sejarah, maka mereka akan menjadi manusia robot acuan kapitalist. Mereka lupa asal usul dan adab-adab berterima kasih. Mereka akan membesar sebagai individualistik tanpa semangat patriotik kepada negara. Mereka lupa siapa mereka di bumi Malaysia.

Apabila hari ini meninggalkan kita untuk menjadi esok, maka hari ini adalah sebuah sejarah. Belajarlah dari sejarah. Moga-moga kita tidak mengulangi kesilapan hari ini yang dilakukan semalam. Moga-moga kita lebih bijak mengatur langkah. Langkah sebagai seorang pejuang.

Meneruskan legasi pemimpin terdahulu
Mingguan Malaysia 3 Oktober 2010

Pihak yang mengambil kesempatan terus memperbesar-besarkan perang mulut yang berlaku antara sebuah akhbar dengan seorang pemimpin yang disukainya. Saat-saat inilah yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka yang menahan lukah di pergentingan. Perkara ini adalah suatu yang biasa dalam politik. Saling ingat mengingati barulah ada check and balance. Tetapi ia terus berlarutan seolah-olah tidak kesudahan. Orang lain bertepuk tangan melihat kita bertelingkah dalam serba-serbi.

Sikap terlalu defensif tidak akan menyelesaikan masalah. Lebih baik dibawa berbincang, kerana itu lebih menepati kehendak Islam dan membawa banyak manfaat kepada perpaduan umat Islam.

Cukup sudahlah kita berpecah disebabkan oleh perbezaan parti politik dan ideologi, janganlah pula terbawa-bawa kepada sentimen sebegini. Bincanglah apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari siapa yang betul, siapa yang salah. Cerminlah diri masing-masing, apakah sumbangan kita selama ini?

Sudahkah kita lupa kata-kata seorang ahli falsafah Cina yang berbunyi, jika anda mahu menjadi pemimpin negara, terlebih dahulu pastikan keluarga sendiri berada dalam keadaan baik. Bagi memastikan keluarga sendiri baik, pastikan diri sendiri perlu baik. Bagi memastikan diri sendiri baik, pastikan hati dijaga demgan baik. Bagi memastikan hati sentiasa baik, ia perlu bermula dengan keikhlasan. Cuba tanya pada diri kita, apakah kita ikhlas menjadi seorang pemimpin?

Nilai balik apakah sumbangan kita kepada agama, bangsa dan negara? Atau mungkinkan penyertaan kita dalam politik sekadar untuk membuncitkan perut dan membesarkan poket? Inilah pertanyaan-pertanyaan yang perlu dijawab oleh setiap pemimpin yang diberikan amanah oleh rakyat hari, tidak kira sama ada pemerintah atau pembangkang. Jika ada jawapannya, tidak perlulah terlalu risau akan pilihan raya umum akan datang.

Seringkali kita dengar, mereka yang menyertai politik, tidak ada agenda agama, bangsa dan negara. Agenda utama mereka adalah untuk mendapatkan kuasa dan pangkat, setelah itu mudah untuk mendapatkan tender dan projek melalui kroni-kroni yang akan dibela. Pemikiran seperti ini perlu dibuang jauh-jauh jika ada.

Tagline Gagasan 1Malaysia, “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”, perlu difahami oleh setiap wakil rakyat tanpa berkecuali. Rakyat perlu diutamakan dalam segala hal. Tanpa rakyat siapalah pemimpin kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat (dengan izin Allah). Itulah falsafah demokrasi yang saya fikir tidak bercanggah dengan sumber ajaran Islam jika diurus dengan baik berpandukan perlembagaan. Janganlah memperalatkan gagasan 1Malaysia untuk menutupi atau mengaburi tindakan kita, tetapi laksanakan gagasan tersebut sebagaimana yang dicitrakan oleh Perdana Menteri.

Malangnya, ketika Perdana Menteri mengajak rakyat memahami keutamaan, masih ramai umat Islam lebih menekankan hal remeh temeh daripada isu pokok. Bergaduh tidak tentu pasal. Mempertahankan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. Niat tidak lain, supaya dirinya nampak hebat, wal hal diri dan sumbangannya tidak seberapa. Ada kalanya kita menjadi pemimpin, bukan kerana kita bagus atau berwibawa, tetapi kadangkala kerana bernasib baik. Sedangkan ramai yang lebih layak daripada kita. Tetapi disebabkan mereka tidak pandai membodek dan mengampu, mereka tidak terpilih sebagai pemimpin.

Sedangkan mereka yang berfikiran seperti pandir dan tidak ada daya intelektual, begitu cepat naik dan berkuasa kerana nasib menyebelahi mereka, bukan kewibawaan dirinya. Sedangkan orang sebegini, boleh dikatakan kosong. Keluarga tidak terjaga dan terbela. Diri sendiri penuh dengan kontroversi dan sebagainya. Jika dikorek-korek nanti, keburukan yang dilakukan, lebih banyak dari kebaikan dan boleh dibuat buku. Bagaimana kita boleh harapkan orang sebegini boleh menjaga rakyat. Justeru, mereka yang ingin menjadi pemimpin atau dipilih menjadi wakil rakyat, mesti pandai menjaga diri dan keluarga terlebih dahulu. Selepas itu, barulah senang untuk bercakap soal menjaga rakyat dan menjaga kerajaan. Inilah aspirasi dan inspirasi 1Malaysia Perdana Menteri.

Jika tidak, kita akan menjadi bahan kutukan orang. Saya sudah tidak mampu lagi mendengar kata-kata seperti, “keluarga sendiri berterabur, tidak terjaga, bagaimana nak jadi pemimpin dan , menjaga rakyat”. Inilah kata-kata yang sindiran kerap kedengaran. 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sudah tentu tidak mahu memimpin yang sebegini. 1Malaysia mahukan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berakhlak mulia untuk meneruskan legasi pemimpin yang terdahulu. Ingatlah wahai saudaraku, rakyat hari ini bukan seperti dahulu, mereka sudah boleh membezakan mata dia intan, mana dia kaca.

Jika dahulu, tunggul kayupun kalau diletakkan sebagai calon mereka akan undi. Hari ini, tunggul kayu tersebut akan campaknya jauh entah ke mana, malah tidak lagi dipandang untuk menjadi kayu api.

Sudah sampai masanya gagasan 1Malaysia meletakkan KPI atau tanda aras untuk mereka yang mahu menjadi pemimpin. Pertama, saya ingin cadangkan supaya pemimpin tersebut boleh memimpin dirinya sendiri, meletakkan Allah ditempat pertama, diikuti dengan Rasulullah dan keluarganya. Setelah dirinya terpimpin berasaskan prinsip tersebut, barulah akan terpancar integritinya, tidak rasuah dan tidak korup.

Kita tidak mahu pemimpin yang rumahtangganya berantakan, anak-anaknya pula bertaburan. Ingatlah pesanan yang mengatakan rakyat (termasuk anak-anak) menilai (lebih terpengaruh) dengan apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap. Tidak ada gunanya jika cakap tidak serupa bikin. Hanya pandai bercakap tetapi apa yang dicakap tidak ditunaikan atau dikotakan. Kata mesti dikota.

Kedua, pemimpin mereka mempunyai ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu memahami keutamaan. Keutamaan jamaah (rakyat) berada di hadapan berbanding keutamaan diri. Jangan terlalu menjaga dan mementing diri sendiri atau terlalu mengikut emosi sehingga melupakan kepentingan rakyat. Memperbesarkan perkara kecil sehingga tertinggal perkara besar. Terlalu menjaga politik diri sendiri supaya tercalon lagi, sehingga terlupa akan agenda anak bangsa sendiri. Berikanlah laluan kepada mereka yang benar-benar mahu dan mampu memimpin.

Ketiga, pemimpin sebaik-baiknya mesti bebas atau tidak dilihat daripada dosa besar dan dosa kecil. Paling baik tidak melakukan apa-apa dosa. Sudah tentu ini adalah mustahil sebab kita bukan Rasul atau Malaikat. Kita tidak dapat lari daripada kesalahan. Namun, jangan lah kita terjebak dalam dosa-dosa yang rakyat boleh mempertikaikan kredibiliti kita. Misalnya seperti minum arak, kaki perempuan, kaki judi dan macam-macam kaki lagi. Ingatlah, rakyat melihat apa yang kita buat.

Keempat, pemimpin mesti mempunyai jiwa agama dan dapat menjaga amanah bangsa. Tidak semestinya mereka mempunyai latar belakang agama atau lulusan pengajian Islam. Kepemimpinan Islam boleh terdiri daripada mereka yang professional. Kadangkala sedih juga bila melihat bila ada ‘orang agama’ menjadi pemimpin, kepemimpinan dan pandangan mereka terlalu jumud dan tidak berpijak di bumi nyata. Sikit-sikit berhujah berbalik kepada Quran dan Hadis, tetapi modus operandi entah di mana. Justeru, orang agama perlu diprofesionalkan.

Apapun jika golongan professional mahu menjadi pemimpin, mereka mesti mempunyai jiwa agama atau mengulamakan professionalism nya itu. Jangan sampai pemimpin kita tidak boleh dilihat menjadi imam. Paling kurangpun pemimpin tersebut mesti boleh memimpin bacaan doa, keupayaan berdoa adalah petanda awal menunjukkan kita mengerjakan sembahyang. Dengan makna, pemimpin tersebut mesti bersolat sebagai asas utama nilaian akhlaknya dengan Tuhan. Ingatlah, sesiapa yang sensitif dengan Allah, pasti dia akan sensitif dengan orang lain (rakyat).

Inilah ‘kalahnya’ UMNO dengan pemimpin sebuah parti yang mendakwa diri mereka memperjuangkan Islam. Pemimpin parti Islam ini telah menarik ramai professional, termasuk orang UMNO yang berjiwa Islam. Profesional ini boleh menjalankan tanggungjawab ulama seperti membaca khutbah, menjadi imam, baca doa, sembahyang mayat dan sebagainya. Banding dengan sebahagian pemimpin UMNO hari ini, ada yang membaca al-Quran pun tidak betul. Bagaimana mereka boleh berdoa? Mungkin ada yang tersinggung dengan tulisan saya ini, saya pohon ampun dan maaf. Hari ini professional parti Islam ini begitu berpengaruh sehingga menimbulkan kebimbangan pemimpin bersifat ‘taliban’ dalam parti Islam tersebut. Sebenarnya UMNO tidak ketandusan orang agama dan professional, resepinya semua sudah ada. Hasil yang mahu dilihat adalah, laksanakan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Berkata benar walaupun pahit. Jika UMNO mahukan meneruskan legasinya pada masa akan datang, UMNO tidak ada pilihan melainkan mesti dapat dilihat bersih, cekap, amanah dan dapat dilihat melaksanakan ciri-ciri kepimpinan Islam tersebut. Di sinilah yang dikatakan ‘kekuatan’ parti Islam yang sukar ditandingi UMNO.

Mereka sanggup berjemur, berjaga dan bercekang ketika pilihan raya dan melakukan kerja suka rela, tanpa meminta sebarang habuan. Tetapi tidak UMNO. Ada sebahagian mereka yang tidak ikhlas. Wang dan harta telah mengaburi mereka. Kerja sedikit, mereka mahukan habuan. Sudah sampai masanya kita latih mereka yakni kerja kerana Allah demi menjaga amanah agama, bangsa dan negara.

Jika inilah pemimpin UMNO yang bakal lahir, jangan harap parti-parti lain dapat menambah kerusi. Tetapi jika perkara asas ini diabaikan, maka tunggu kekalahan yang bakal menjelma. UMNO mesti serius dalam meletakkan kepentingan agama di hadapan berbanding kepentingan bangsa. Kebaikan mesti diutamakan daripada keburukan. Manakala jika berlaku pertembungan dua keburukan, maka kita mesti tahu memilih antara dua keburukan tersebut, mana satukah yang kurang mudaratnya. Misalnya, antara menyentuh (atau makan) babi dengan makan rasuah (atau riba). Sudah tentu implikasi makan rasuah atau makan riba, lebih buruk daripada menyentuh (makan) babi, sebab makan babi melibatkan dosa individu, sedangkan makan rasuah melibatkan orang ramai dan boleh meruntuhkan agama dan negara, sehingga sampai ke tahap boleh diperangi. Jangan pulak ada yang salah faham sehingga sanggup makan babi selepas ini.

Jika semua ini dapat difahami keadaan tidaklah seteruk hari ini. Teringat saya bila membaca buku Syed Hussein Alatas, bertajuk Mitos Pribumi Malas, antara punca kelemahan umat Islam (Melayu) hari ini, disebabkan oleh ada sebahagian pemimpin yang dipilih itu lemah, tidak ada daya intelektual. Ketiadaan daya keintektualan ini menjadikan mereka ini hanya mampu menjadi pengampu dan pembodek. Justeru, sudah sampai masa kita dapat membezakannya agar boleh bangun menjadi bangsa hebat dan digeruni.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Posted by RIDHUAN TEE at 7:10 AM

Kehidupan di dunia merupakan satu ujian…….
Ujian yang menguji tahap kesabaran kita.
1. Sabar untuk mendengar nasihat dan teguran
a. Nasihat dan teguran ibu
b. Nasihat dan teguran bapa
c. Nasihat dan teguran Guru dan sbgnya
2. Sabar untuk bersedia dan menerima nasihat dan teguran
3. Sabar untuk mengamalkan serta memunafaatkan nasihat dan teguran
Oleh kerana itu kita harus cuba bersabar kerana sabar akan memberikan iman kepada kita.
Semakin banyak kita bersabar semakin banyaklah iman kita.
Semuga kita menjadi orang yang beriman yang bakal menduduki syurga Allah swt. Kehidupan di dunia merupakan satu ujian…….
Ujian yang menguji keegoan kita.
1. Ego dengan kekayaan kita
2. Ego kerana kedudukan kita.
3. Ego dengan keturunan kita
Bersikap ego tidak memberi sebarang keuntungan malah merugikan kita.
Kekayaan wangringgit yang dipinjamkan kepada kita adalah supaya kita boleh banyak bersedekah kepada fakirmiskin.
Kekayaan ilmu yang tinggi pasti lebih diberkati apabila diajarkan kepada yang jahil.
Kedudukan yang terhormat adalah anugerah untuk membantu mereka yang memerlukan.
Keturunan yang baik adalah untuk dijaga dan dibaja menjadi lebih baik, lebih tinggi dan lebih bermunafaat.
Kehidupan di dunia merupakan satu ujian…….
Ujian apabila menjadi antara orang yang jahil.
1. Jahil dalam ilmu keduniaan.
a. Ilmu berkomunikasi
b. Ilmu teknologi
c. Ilmu kira mengira dan sbgnya.
2. Jahil dalam ilmu agama.
Sudah tentu kita yang jahil ini selalunya kalah di dalam perlumbaan mengejar ilmu-ilmu itu.
TETAPI walaupun kita kalah, kita masih boleh mengejar dan terus mengejar untuk mendapatkan ilmu itu kerana ilmu-ilmu itu tidak pernah lari.
Oleh itu berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai ilmu yang kita kehendaki.
Semuga anda semua Berjaya insyallah.
Kehidupan di dunia merupakan satu ujian…….
Ujian yang menguji apabila dijadikan sebagai orang yang segak atau cantik.
1. Segak rupa paras, cara berpakaian ataupun macho dsbgnya.
2. Cantik, menarik, menawan, menggoda dsbgnya.
Apabila kita dijadikan sebagai insan yang segak atau cantik , banyakkanlah bersyukur kepada Allah dan mohon petunjukNYA.
Janganlah kita lupa diri kerana merasa diri segak dan cantik takut-takut kita tersesat jalan atau terpesong akidah apabila terlihat banyak peluang dan ruang yang boleh dituju sehingga kita tidak dapat membezakan yang baik atau yang salah.

MENGHARGAI SEBUAH KEHIDUPAN
1. Gagal merancang bererti merancang untuk gagal. Hidup kita sudah terbiasa dengan pelbagai rancangan, sama ada apa yang dirancang untuk kita, atau kita sendiri merancang dengan pelbagai harapan.
2. Hidup berjalan dengan pelbagai perancangan dan jangkaan. Kita melepasi peringkat sekolah rendah – sekolah menengah – universiti – kerja – kahwin – anak – tua – pencen. Setiap peringkat itu berjaya ditempuh dengan kejayaan mengatasi kebarangkalian ia tidak berlaku. Tidak semua yang bersekolah rendah sampai ke sekolah menengah. Tidak semua yang di universiti berjaya menggenggam segulung ijazah. Belum tentu semua yang berijazah mendapat kerja. Bukan semua yang bekerja bertemu jodoh, berkahwin, beranak pinak dan mencecah usia tua.
3. Semuanya sentiasa dengan kebarangkalian harapan tidak tercapai
4. Hanya satu yang pasti berlaku iaitu MATI! Fikir mati pun mati, tak fikir mati pun mati. Bersedia untuk mati pun mati, tak bersedia untuk mati pun mati.
5. Justeru janganlah dipanggil bakal Datuk kerana mungkin tidak jadi Datuk. Jangan dipanggil bakal Puan Seri kerana mungkin tidak jadi Puan Seri.
6. Sebaliknya, WAHAI BAKAL-BAKAL JENAZAH sekalian! Itulah saya dan anda semua.
7. Islam tak mengajar kita takut dengan kematian tetapi menyedari adanya kematian di hadapan maka HARGAILAH SEBUAH KEHIDUPAN
8. Teringat kepada perbualan saya dengan ibu bapa yang anak mereka sakit jantung – jangan difikir ajal anak itu kerana mungkin doktor mati dulu kemalangan. Mungkin ibu bapa mati dulu. Mungkin saya mati dulu berbanding anak kecil yang sakit itu. Justeru janganlah dibimbangkan tentang kematian. Sebaliknya hargai setiap detik yang ada.
9. Nabi SAW bersabda: صلِّ صلاة مودِّع كأنك تراه ، فإن كنت لا تراه فإنه يراك yakni “bersolatlah kamu dengan solat perpisahan seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak dapat merasakan yang kamu melihat-Nya, sekurang-kurangnya rasakanlah bahawa Dia itu melihat kamu”.
10. Kita akan mati di antara dua solat. Tiada jaminan selesai solat Asar, kita sempat sampai ke Maghrib. Justeru setiap solat, lakukanlah ia sebagai solat terbaikmu.
11. Wal-‘Asr