Cari Blog Ini

Motivasi 2

Masih adakah Ketuanan Melayu?
Mingguan Malaysia, 13 Disember 2009

Ingatan demi ingatan telah saya ajukan akan bahayanya golongan ultra kiasu, tetapi kita terus memberi muka. Sedangkan mereka tidak pernah serik dan mengambil pengajaran. Sejak dahulu lagi ultra kiasu ini membangkitkan isu-isu sensitif dan menentang apa juga perkara yang menyebelahi bangsa Melayu dan Islam di bumi Melayu ini walaupun hak-hak ini dijamin dalam perlembagaan. Pada mereka, semua rakyat Malaysia mesti berpegang kepada formula sama rata dan sama rasa atau fair and square atau Malaysian Malaysia. Mereka tidak mahu langsung melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan Melayu Islam seperti mahukan bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, negara Islam kepada negara sekular, ketuanan Melayu kepada ketuanan rakyat dan sebagainya. Apakah ultra kiasu akan bersetuju dengan ketuanan Islam yang diperjuangkan oleh rakan sekutunya PAS? Mungkin PAS boleh bertanya ultra kiasu itu yang menjadi rakan baiknya.

Penggunaan istilah ketuanan Melayu tidak langsung menggambarkan hubungan antara ‘tuan’ dengan ‘hamba’ sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, masakan penguasaan ekonomi bukan Melayu begitu jauh meninggalkan orang Melayu Islam. Lihat sahaja senarai 10 jutawan terkaya di negara ini. Siapakah mereka? Jika ada ketuanan Melayu sudah pasti akan ada beberapa muka-muka Melayu. Jika orang Melayu itu tuan, sudah tentu mereka akan menyekat ‘hamba-hamba’ ini untuk berjaya, tetapi adakah ia sebenarnya berlaku? Inilah bahaya bila ada sifat kiasu yang terlalu ultra? Kini mereka begitu berani mempertikaikan peruntukan atau dana-dana yang disediakan untuk pembangunan Islam oleh kerajaan termasuk pembinaan dan pembiayaan masjid, yang berkaitan dengan ketuanan Melayu dan Islam. Malah dana zakat turut mahu diambil. Saya terlalu ingin melihat apakah respon Tok Guru dan PAS terhadap kenyataan amat biadab ini.

Sebenarnya isu ketuanan Melayu dan Islam dibangkitkan semula untuk menagih simpati dan sentimen orang bukan Melayu agar tidak lupa menyokong mereka. Mereka mahu pastikan agar penyokong-penyokong parti ultra kiasu ini sentiasa berjaga-jaga dan dikejutkan agar tidak leka. Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Singapura yang begitu agresif dengan kempen-kempen dan ingatan kepada rakyat mereka agar sentiasa berhati-hati dengan musuh yang sebenar iaitu negara-negara di sekelilingnya seperti Malaysia dan Indonesia. Parti ultra kiasu faham benar akan taktik ini kerana mereka adalah daripada kumpulan yang sama di sana.

Dapatan kajian saya menunjukkan bahawa, golongan ultra kiasu ini memang telah berjaya menanamkan pemikiran bangsanya agar menolak ketuanan Melayu dan Islam secara total. Ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan dengan dikaitkan hubungan antara tuan dan hamba.

Sebagai pengkaji politik, saya amat yakin golongan ultra kiasu ini amat faham maksud ketuanan Melayu tersebut bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu, tetapi saya faham sangat akan maksud ketuanan Melayu secara tersurat dan tersirat. Saya celik sejarah dan tidak memutar-belitkannya demi mencapai cita-cita politik rakus. Saya begitu bersyukur dilahirkan di bumi bertuah ini, begitu juga dengan nenek moyang saya.

Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat menerima istilah ini tanpa prejudis, apatah lagi untuk mempertikaikan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang, berasal dari Yunan dan Indonesia. Inilah hujah-hujah yang selalu digunakan oleh kumpulan ultra kiasu ini, termasuk segelintir mereka yang berada dalam komponen BN seperti MCA dan Gerakan. Sebenarnya pengikut ultra kiasu ini adalah ramai, mereka tidak bersendirian. Bekas Presiden Gerakan adalah antaranya yang begitu lantang mengkritik ketuanan Melayu ini. Apakah mungkin kita tidak perasan dengan taktik mereka? Pusat mereka berada di Pulau, jangan kita lupa, cukuplah terlepas dua pulau.

Persoalan seterusnya, apakah orang Cina atau India tidak mempunyai semangat ketuanan Cina atau ketuanan India? Janganlah tipu, ia cuma tidak dilaungkan sahaja. Ketuanan mereka itu sudah jelas terpancar ketika mereka mempertahankan hak-hak mereka secara ekstrim yang telah diperolehi. Ketuanan inilah yang menyatukan mereka.

Apakah tuntutan dan desakan yang dikemukakan selama ini tidak melambangkan ketuanan bangsa? Sekurang-kurangnya orang Melayu yang melaungkan ketuanan Melayu itu berterus-terang, membuka ruang kepada pandangan dan kritikan. Berbeza dengan ultra kiasu, lantang mengkritik, tapi bekerja senyap-senyap, sedar-sedar dah jadi. Mula-mula ditutup-tutup, bila tiba-tiba dibuka, masyaAllah, besarnya patung yang didirikan. Licik sungguh strategi mereka. Umat Islam bila lagi? Takkan asyik berterus-terang. Jika kerja berjalan boleh tahan juga, tetapi cakap banyak, kerja tidak berjalan.

Lihat strategi mereka, ketuanan Melayu dipertikaikan diikuti selepas itu dengan mempersoalkan penggunaan dana kerajaan terhadap perkembangan syiar Islam seperti pembinaan masjid. Persoalan saya, apakah kerajaan negeri dan persekutuan tidak membantu pembinaan rumah ibadat bukan Islam? Jangan asyik menyatakan orang, tanpa mensyukuri toleransi yang berlaku. Inilah belang ultra kiasu yang sebenar, pepat di luar rencong di dalam.

Lihatlah bagaimana bersatunya mereka ketika pembukaan rasmi bangunan Kek Lok Si dan patung Kuan Yin yang begitu besar di negeri ultra kiasu baru-baru ini. Ini tidak termasuk pandangan di Batu Caves. Wajarkah ia dibina dalam sebuah negara Islam sehingga menenggelamkan kedudukan bangsa dan agama Islam sebagai bangsa majoriti dan agama persekutuan? Adakah kebebasan ini diberikan kepada umat Islam di negeri China dan India mahupun Switzerland? Alangkah sedihnya melihat masjid babri yang dimusnah dan diganti dengan kuil Hindu. Tidak ramai orang Islam yang membantah. Inilah sifat yang amat saya puji, walaupun dalam hati amat berat untuk menerima. Sifat sebegini jarang dapat dilihat pada orang lain. Banyak yang telah dapat, tetapi tidak pernah puas itulah ultra. Strategi mereka sekarang, tuntut semaksima mungkin, tak dapat banyak, kerajaan bagi sedikit. Sedikit itu kemenangan besar.

Kalau tidak percaya, tanyalah ketua-ketua parti komponen BN. Adakah selama ini mereka tidak dapat apa yang dituntut. Adakah rumah ibadat mereka tidak dibantu kerajaan? Jangan tanya kepada parti ultra kiasu kerana mereka tidak pernah puas selagi kuasa tidak berada di tangan mereka sepenuhnya. Mereka bercita-cita mahu menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Pernahkah kita bertanya kepada orang Melayu Islam, sakitkah hati mereka melihat patung-patung yang begitu besar dan tinggi, yang terang-terang bercanggah dengan fitrah agamanya atau setiap kali lalu di tempat-tempat tersebut? Kita tidak pernah bertanya bukan? Kita hanya marah dalam hati kerana kita mahu menjaga hati orang lain dan hak bukan Islam.

Pernahkah orang Islam melarang pembinaan patung sebesar itu dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Kalau adapun sedikit sangat. Apakah hak bukan Islam dinafikan walaupun ketuanan Melayu dilaungkan?

Apakah Lee Kuan Yew tidak menegakkan ketuanan Cina di Singapura? Terangkatkah ketuanan Melayu di negeri Melayu Singapura? Orang Melayu tidak mendapat tempat di sana berbanding orang India yang lebih sedikit bilangannya. Kalau dulu Yusuf Ishak boleh menjadi presiden, selepas beliau, nama Melayu sudah tidak muncul lagi. Bila orang Melayu yang mengkritik ketuanan Cina di Singapura, mereka akan dibuang jauh-jauh. Pernahkah kerajaan hari ini membuang kumpulan ultra kiasu ke luar negara walaupun ia amat lantang mengkritik orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu? Saya fikir orang Melayu lebih mempercayai bukan Melayu daripada bukan Melayu mempercayai Melayu.

Orang Melayu (Islam) tidak pernah campurtangan dalam urusan orang bukan Islam, tetapi kenapa dan mengatakan orang bukan Islam begitu kurang ajar mencampuri setiap perkara sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam? Fikirkanlah isu-isu seperti pemelukan agama Islam, murtad, kedudukan mahkamah syariah, kedudukan Islam dan keistimewaannya dalam perlembagaan dan sebagainya.

Toleransi ini tidak pernah dihargai oleh kumpulan ultra kiasu ini. Tidak pernah puas dan bersyukur. Bila kita tanya toleransi tidak pernah berlaku di negara lain, kenapa tidak menghargai? Maka mereka menjawab, inilah keunikan yang perlu ditonjolkan di Malaysia. Licik juga strategik dan taktik mereka, bila kena pada kita, mereka kata inilah keunikan Malaysia dan semangat 1Malaysia, tetapi bila kena pada mereka, maka jawapannya tidak adil, bukan Melayu dipinggirkan dan didiskriminasikan dan berbagai-bagai tohmahan lagi. Selain daripada kumpulan ultra kiasu ini, mungkin kita boleh melihat pakatan jahat mereka dengan majlis peguam dan persatuan-persatuan agama-agama bukan Islam. Adalah amat tidak logik apabila melihat bilangan rumah ibadat orang bukan Islam yang hanya berjumlah 45 peratus, melebihi berkali ganda bilangan masjid dan surau di dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, yang bilangannya melebihi 55 peratus.

Puak ultra kiasu ini memang tidak pernah bersyukur. Taktik mereka menentang sekeras-kerasnya tanpa kompromi. Mereka tahu mereka tidak keseorangan. Sokongan ke atas mereka amat jitu dan padu. Kita jangan terlalu bersangka baik walaupun ia sifat yang amat mulia. Terlalu bersangka baiklah maka hari ini kepala kita bukan sahaja dipijak-pijak malahan, mereka sudah hampir sampai ke tahap untuk menguasai kita. Bayangkan jika benar-benar mereka berpakat dengan negara kecil yang begitu kuat di selatan Johor itu?

Saya mahu mengajak kita semua berfikir sebentar, apakah dengan laungan ketuanan Melayu itu, benar-benar Melayu dan Islam telah menjadi tuan? Apa yang saya tahu semakin kuat kita melaungkan ketuanan Melayu semakin banyak tanah rezab Melayu yang telah tergadai kepada bukan Melayu? Kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam semakin terancam.

Kadangkala ternyata-tanya pada diri sendiri, apakah dengan mendapat potongan lima peratus untuk membeli sebuah rumah dan kewujudan MARA sudah cukup melambangkan itulah hak istimewa orang Melayu? Jika itulah yang melambang ketuanan Melayu, alangkah hinanya kita. Ketuanan Melayu yang sebenar adalah apa juga yang berkaitan dengan Melayu selaku bangsa majoriti termasuk bahasa, agama dan cara hidupnya akan mendominasi suasana negara ini. Tetapi adakah ini berlaku?

Lihat saya kedudukan media cetak dan media elektronik di negara kita. Adakah bahasa Melayu yang mendominasinya? Jawapan mudah, tidak. Kalau ada pun media Melayu, ia hanya dibaca atau ditonton oleh Melayu sahaja. Saya tidak fikir ada orang bukan Melayu yang akan membaca dan menonton media Melayu. Kecuali kumpulan ultra kiasu. Itupun mereka hanya berminat untuk mengorek rahsia dan membaca psikologi orang Melayu. Jika tidak, mereka tidak akan ada hati juga untuk melihat dan membacanya.

Apakah dengan laungan ketuanan Melayu kemudahan orang Cina (India) untu berniaga semakin berkurang? Sekolah Cina atau Tamil semakin berkurang? Rumah ibadat orang Cina, India semakin berkurang? Hak-hak bukan Melayu semakin dinafikan? Tulisan jawi semakin berpengaruh? Wujudkah sekolah Melayu berbanding sekolah Cina dan India? Masih adakah ketuanan Melayu? Justeru, rugikah orang Cina, India jika UMNO terus melaungkan ketuanan Melayu atau hidup Melayu atau ia sekadar mahu mengingatkan orang Melayu supaya tidak mudah lupa diri di tanah air sendiri dan mara untuk terus berjuang.

Jika nama Tanah Melayu kekal tanpa di tukar kepada Malaysia, saya tidak nampak relevannya ketuanan melayu. Seperti mana nama negeri China dan India. Mereka tidak perlu sebut ketuanan China atau ketuanan India sebab nama negara mereka sudah mencerminkan ketuanan mereka. Maka tidak hairanlah orang Islam merempat hidupnya di bumi mereka. Masjid dirampas menjadi kuil. Apakah orang Islam hidup senang lenang di negara bukan Islam berbanding orang bukan Islam hidup dalam negara Islam seperti Malaysia. Sedarkah puak-puak ultra kiasu?

Saya cukup bimbang laungan ketuanan Melayu hanya tinggal sebagai laungan sahaja seperti mana nama-nama Melayu yang semakin hilang seperti Keretapi Tanah Melayu menjadi KTM. Perancangan yang sungguh licik. Kita asyik mengalah. Bila diugut, maka kita akan tunduk kepada desakan dan tuntutan mereka. Apa yang jelas sinergi ultra kiasu semakin mantap, manakala sinergi kita semakin merosot, yang tinggal hanya laungan dan slogan yang tidak dapat dipertahankan.

Gagasan 1Malaysia tidak lagi dilihat sebagai gagasan untuk memperkasa masa hadapan tetapi untuk menuntut apa yang belum dapat dan menambah apa yang telah dapat! Sampai bilakah kita mampu terus bertahan? Apakah sinergi orang Melayu (Islam) semakin pupus di bumi Melayu? Tidakkah kita perlu kembalikan semula sinergi yang semakin hilang?

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya

Belajar dari bangsa berjaya
Mingguan Malaysia 22 Ogos 2010

Pantang ada bukan Melayu yang cuba memuji Melayu (Islam) dan dasar kerajaan, pasti akan dihentamkan oleh ultra kiasu. Terbaru, pemaju hartanah utama negara SP Setia Berhad, sebangsa dengan saya, dikutuk rapat golongan ultra kiasu melalui kenyataan yang agak pro kepada dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kenyataan beliau yang mahukan bukan Melayu bersyukur atas dasar hari ini yang turut menguntungkan mereka, amat tidak disenangi oleh laman web ultra kiasu. Itulah wajah mereka sebenarnya. Tidak pernah bersyukur, pada masa sama terus mengaut keuntungan dari apa yang ada dan dimanfaatkan.

Logik yang diberikan untuk mengatakan bahawa orang bukan Melayu sudah jauh meninggalkan orang Melayu amat jelas. Pertama, terdapat lebih syarikat milik bukan Melayu yang tersenarai dalam Bursa Malaysia berbanding bumiputera. Kedua, statistik majalah Forbes menunjukkan masyarakat Cina telah telah berjaya sejak 30 tahun lalu. Ketiga, syarikat-syarikat dikuasai Cina mewakili 37 peratus pasaran modal di antara 100 syarikat Malaysia yang disenaraikan, berbanding tujuh peratus kalangan orang Melayu. Keempat, individu kaum Cina menguasai 73 peratus kekayaan yang dimiliki 40 orang terkaya di Malaysia dan lapan dari setiap 10 orang kaya adalah Cina.

Persoalannya, adakah orang Cina dilayan dengan buruk? Kata pemaju itu lagi, bukan Melayu (Cina) mesti belajar untuk memberi. Kita mesti belajar untuk mengambil satu langkah ke belakang. Kita juga harus belajar untuk hidup bersama budaya dan pemikiran mereka. Orang Melayu masih bimbang bahawa rakan niaga Cina menggugat perniagaan mereka jika tiada dasar pro-Melayu yang melindunginya.

Jika yang memberi pandangan itu adalah kalangan bukan sebangsa, saya tidak fikir ia akan dihentam. Tetapi dek kerana beliau sebangsa dengan saya, maka komen buruk dan negatif ke atas dirinya tidak pernah habis. Peribadinya dicemuh dan dihentam. Inilah nasib yang menimpa diri kami, bercakap sedikit menyebelahi Melayu, Islam dan beberapa dasar kerajaan, seluruh keturunan dihina dan dikeji. Kenapa bukan hujah yang telusuri dan didiskusi?

Selama inipun saya telah banyak bercakap, dasar kerajaan yang menyebelahi Melayu (bumiputera) memang menguntung bukan Melayu, sebab Melayu adalah pelanggan, manakala bukan Melayu adalah pengeluar (pembekal). Seramai manapun pengusaha Melayu muncul, mereka masih bergantung kepada bukan Melayu. Itulah hakikat yang sebenarnya. Justeru, tidak timbul isu 30 peratus peruntukan ekuiti kepada bumiputera untuk dikongsikan. Peruntukan tersebut adalah kecil berbanding dengan populasinya melebihi 60 peratus.

Kajian demi kajian telah dibuat, termasuk sarjana bukan Melayu seperti Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan Tan Joo Lan (2005) akan keberuntungan bukan Melayu melalui polisi ini. Namun, ultra kiasu tetap ultra kiasu. Apa yang kerajaan cuba buat semua tidak betul. Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang sahaja yang betul kerana didakwa mengikut urus tadbir Umar Abdul Aziz sehingga mencairkan kita. Kerajaan Kedah dan Kelantan masih dalam perhatian, ditakuti terlalu keIslaman, kerana masih tidak mengikut rentak ultra kiasu sepenuhnya. Dengan sebab itu, mereka agak membisu apabila kerajaan Kelantan cuba memperkenalkan penggunaan Dinar. Logiknya, dinar mempunyai kaitan dengan Islam.

Jika ultra kiasu pro-Islam dan mahu mengikut urus tadbir Khalifah Umar Abdul Aziz, sudah tentu hasrat murni kerajaan Kelantan akan disokong awal-awal lagi. Tetapi nampaknya mereka begitu berhati-hati dalam hal ini. Dengan sebab itu, saya amat ragu-ragu dengan idea mencontohi urus tadbir Umar Abdul Aziz.

Apa yang berlaku di Sibu, Sarawak semakin mencurigakan saya. Misalnya, tindakan pertubuhan ultra kiasu di bahagian Sibu yang mahu menukar nama Sibu kepada nama asalnya, kononnya Shi Wu. Kenapa baru sekarang nama Sibu mahu ditukar? Lagipun makna Shi Wu tidak membawa makna yang baik, merujuk kepada ahli sihir wanita. Nama Sibu sudah lama terpahat dan mudah disebut, tanpa berbelit-belit lidah. Saya cadangkan golongan ini bacalah sejarah pribumi Sabah dan Sarawak. Jika terlalu sukakan nama-nama berasaskan bangsa, tampallah nama-nama warisan bangsa di sekeliling rumah, tidak siapa yang menghalang. Tetapi janganlah melakukan sesuatu yang ultra di hadapan khalayak. Baru mencapai sedikit kemenangan dalam pilihan raya baru-baru ini sudah begitu berani. Bayangkan jika mereka berjaya memerintah negara sepenuhnya. Saya mohon kita semua bukalah mata dan bukalah minda.

Golongan ini selalu mendakwa mereka memperjuangkan kepentingan semua kaum, hakikatnya mereka amat berbau perkauman. Janganlah kerana ada seorang dua orang Islam Melayu yang diambil bekerja dalam syarikat atau pertubuhannya, kitapun mendabik dada dengan mengatakan kita berjuang untuk semua. Kemudian, secara halus atau secara diam merampas hak orang lain.

Terbaru, saudara ipar saya telah pergi ke sebuah syarikat perumahan ultra kiasu untuk membeli rumah di bawah kuota bumiputera bagi melayakkan beliau mendapat diskaun tujuh peratus, keistimewaan yang didakwa oleh parti ultra kiasu yang mesti dihapuskan. Setelah pergi ke sana, maka ditunjukilah rumah diskaun tujuh peratus di bahagian simpang tiga, lokasi yang sudah tergolong dalam kategori tidak terjual kerana dianggap sebagai lokasi sial.

Inilah keistimewaan tujuh peratus yang kerap kali dibangkitkan. Lokasi sial yang ditinggalkan kepada bumiputera untuk mendapatkan diskaun. Ditanya lagi, tidak adakah lokasi yang lebih sesuai. Maka ditunjukkan oleh pekerja-pekerja ultra kiasu tersebut semua tempat telah penuh, walaupun rumah tersebut masih belum dibeli atau masih belum ada yang punya. Selepas itu, mereka akan membuat laporan bahawa kuota bumiputera tidak terjual.

Lihatlah betapa liciknya perancangan segelintir mereka. Kemudian perkara ini diperbesar-besarkan dengan harapan diskaun tersebut dihapuskan. Baru hati puas. Sebenarnya keistimewaan tujuh peratus tersebut hanya dalam kertas. Sudah tidak ada keistimewaan yang sebenarnya. Persoalannya kenapa mereka terus mendesak untuk dihapuskan?

Sama juga isu yang selalu dijadikan hujah iaitu kuota biasiswa belajar di dalam atau di luar negara dan peluang kerja dalam perkhidmatan awam. Kita sengaja tidak mahu melihat dari sudut sebaliknya, tetapi terus mendesak supaya semua ‘keistimewaan’ tersebut dihapuskan. Ramai rakan saya yang menghantar anak-anak mereka menyambung pelajaran keluar negeri dengan perbelanjaan sendiri. Alasannya, mereka tidak mahu anak-anaknya terikat kontrak perjanjian apabila mendapat biasiswa.

Itulah timbal balik mereka yang mendapat biasiswa dan seterusnya bekerja dalam perkhidmatan awam. Justeru, kajian perlu dibuat kenapa kadangkala ada yang tidak berminat memohon biasiswa, bukan hanya menyalahkan pihak kerajaan yang tidak dapat memenuhi permintaan yang begitu banyak.

Itupun masih ramai yang tidak balik apabila tamat pengajian dan terus bekerja di negara asing walaupun biasiswa ditaja oleh kerajaan. Mereka khianat dengan amanah yang telah diberikan. Pada mereka, gaji perkhidmatan awam tidak seberapa berbanding dengan sektor swasta.

Saya tidak pernah mendapat biasiswa ketika belajar bermula dari ijazah pertama hinggalah Phd. Semuanya menggunakan biaya sendiri. Saya tidak terikat dengan kontrak. Namun ultra kiasu menuduh semua pembelajaran saya ditaja oleh kerajaan sehingga menjadi tali barut UMNO. Tujuan serangan dan fitnah ini dibuat tidak lain, supaya menunjukkan bahawa apabila seseorang beragama Islam, maka dia akan mendapat pelbagai kemudahan, termasuk keistimewaan Melayu dan bumiputera. Fitnah yang tidak benar dijadikan hujah untuk terus mendesak kerajaan membuka dan menghapuskan dasar sedia ada.

Terbaru, menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam pertemuan dengannya NGO ultra kiasu mengatakan tidak salah untuk sesiapa pun membangkitkan hak mereka, termasuk sehingga menggugat hak dan kepentingan orang lain. Siapa kata salah? Persoalannya, pandangan yang dibangkitkan itu terlalu ultra kiasu. Itulah yang menjadi masalah. Tuntutan melampau sehingga menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang telah termaktub dalam perlembagaan. Saya teringat kata-kata Dato Onn Jaafar, berbaik-baiklah dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi kita mesti ingat bahawa sejarah asal-usul negara ini mesti diutamakan.

Kadangkala saya keliru, apakah tujuan perkara tersebut dibangkitkan? Saya cukup bimbang dengan sikap mahu menunjukkan diri supaya kita mahu diterima oleh semua orang. Maka kitapun mendapat tepukan gemuruh, sedangkan orang lain merancang sebaliknya. Saya cadangkan supaya kita sibukkan diri banyakkan berdialog dengan NGO-NGO ultra kiasu, baharulah kita akan dapat tahu betapa ultranya mereka. Sekali bertemu belum tentu dalam menyelami akal budinya.

Saya tidak mahu komen banyak soal tuntutan mendapatkan hak sama rata dan sama rasa dalam kek ekonomi. Saya sudah muak membahaskannya.

Nasihat saya, jika masih tidak pasti. Belajarlah. Kadangkala di kalangan masyarakat kita, ada yang faham, tetapi buat-buat tak faham. Bagi yang tidak faham pula, tidak mahu belajar, tetapi ego. Akhirnya, keluarlah kenyataan atau pandangan yang amat menyakitkan hati. Sama juga isu judi dan arak yang telah dibangkitkan sebelum ini. Janganlah kerana ada kalangan ahli keluarga kita yang mungkin terlibat dengan arak dan judi, menjadikan kita mahu menghalalkannya. Matlamat tidak menghalalkan cara. Agama Islam tidak boleh disamatarafkan dengan agama lain.

Kenapa kita tidak bersatu dalam senyap seperti orang lain. Lihatlah Kongres Ekonomi yang dianjurkan oleh MCA 14 Ogos lalu dan kaitan dengan apa yang telah saya bangkitkan. Suara ultra kiasu parti ini begitu lantang dari sebelumnya, walaupun moralnya tidak sehebat mana. Sudahkah kita lupa artikel saya bertajuk bersatu dalam senyap? Ultra kiasu lantang mengkritik dan bersuara, segelintir sahabat mereka dalam parti komponen Barisan Nasional bukan hanya memujuk tetapi begitu berani dan secara terbuka menyuarakan hasrat ultra kiasu itu.

Walaupun suara ultra kiasu mereka ini mendapat tentangan hebat daripada beberapa pertubuhan Melayu seperti Perkasa, termasuk laporan polis turut dibuat. Saya yakin, selepas ini kerajaan akan mempertimbangkannya. Ya, kita tidak akan memberi kesemuanya apa yang dituntut, tetapi kita akan beri sedikit. Sedikit itulah kemenangan besar kepada mereka.

Inilah strategi demi strategi yang ditunjukkan oleh bangsa yang berjaya. Masihkah kita tidak mengambil pengajaran. Sebenarnya, selama ini strategi tersebut sudah lama berjalan, kita sebenarnya tidak mahu belajar daripada bangsa berjaya ini.

Berdasarkan sejarah, jika sesebuah bangsa itu mahu berjaya, bangsa tersebut hendaklah mengambil iktibar dan cuba aplikasikan resepi kejayaan bangsa lain. Dalam Islam tidak salah mengadaptasikan ciri-ciri bangsa berjaya sekiranya tidak bertentangan dengan asas beragama.

Ketika zaman kegemilangan Islam di bawah pemerintahan Khalifah al-Makmum, sumber ilmu dari Tamadun Yunani diadaptasikan oleh para ulama seperti al-Kindi, al-Farabi dan Ibnu Sina. Mereka menggunakan ilmu daripada tamadun tersebut untuk memajukan tahap keilmuan mereka tanpa mendewa-dewakan secara melampau ilmu tersebut.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Posted by RIDHUAN TEE at 5:30 AM

Untungnya bersatu dalam senyap
(Mingguan Malaysia 18 Oktober 2009)

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Pergolakan yang berlaku dalam sebuah parti politik MCA baru-baru ini, jangan dipandang terlalu serius oleh kita semua. Itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam politik. Persoalan lebih penting adalah apa yang boleh kita belajar? Saya tidak terlalu bimbang dengan MCA dan Gerakan, kerana sebenarnya kedua parti ini tidaklah sekuat mana di kalangan orang Cina berbanding dengan sebuah lagi parti Cina yang ultra kiasu itu. Dengan sebab itu, saya tidak berapa ambil kisah atas nasib yang menimpa kedua-dua parti komponen BN ini.

Saya akan menjadi lebih teruja jika dapat melihat parti ultra kiasu itu bergolak. Tetapi sehingga ke hari ini parti tersebut jarang benar bergolak. Tetapi parti ini terus menjadi matang dan telah melalui banyak pengalaman berguna. Lebih penting lagi mereka telah dapat membaca dengan rapi akan psikologi orang Melayu. Ia semakin mendapat perhatian dan kepercayaan, sehingga ramai yang terpedaya. Apatah lagi parti ini amat jarang sekali kalah di kawasan majoriti Cina dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) dan pilihan raya kecil. Silap-silap mereka akan menang di kawasan majoriti Melayu suatu hari nanti. Itu adalah tidak mustahil, jika orang Melayu bertindak marahkan nyamuk kelambu dibakar, berbanding mengamalkan carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua.

Jika kita membuat sedikit analisa pilihan raya, kebanyakan kerusi yang dimenangi oleh MCA dan Gerakan adalah kerusi yang dipertandingkan di kawasan majoriti Melayu. Jika MCA dan Gerakan bertanding di kawasan majoriti Cina menentang parti ultra kiasu itu, saya yakin, kedua-dua parti ini akan kalah teruk. Contoh, di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan majoriti kawasan bandar. Itulah trend pengundian yang saya harap pembaca dapat faham makna tersurat dan tersirat.

Mungkin ada yang akan bertanya kenapa selama ini parti Gerakan dapat bertahan di Pulau Pinang? Jawapannya, lihat sejarah Gerakan dan punca-punca berlaku peristiwa 13 Mei 1969, yakni sebelum menyertai Barisan Nasional. Gerakan menjadi pilihan kerana Gerakan ketika itu begitu lantang dan vokal memperjuangkan nasib bangsa. Tetapi apabila Gerakan dilihat semakin bertolak ansur dengan BN, akhirnya ia ditolak, maka menanglah parti ultra kiasu itu dalam PRU 12. Ringkasnya, semakin ultra kiasu sesebuah parti politik itu, semakin ia mendapat sokongan dan perhatian. Bermakna, parti yang ultra kiasu akan mendapat sokongan padu daripada mereka yang ultra kiasu. Saya tidak menuduh semua orang Cina ultra kiasu. Yang pasti, ultra kiasu ini tetap menang besar di kawasan majoriti yang diwakilinya.

Saya yakin, selepas ini mungkin parti ultra kiasu tersebut akan meletakkan satu dua orang calon Melayu di kawasan majoriti Cina, bagi membuktikan bahawa mereka adalah parti berbilang kaum. Saya turut yakin calon-calon itu akan menang besar. Namun, itu bukanlah suatu yang menghairankan atau memeranjatkan. Hanya yang kiasu sahaja yang dapat membaca politik kiasu. Jika calon Melayu itu menangpun, calon Melayu tersebut tidak akan boleh berbuat apa-apa, sebab ia tetap dikuasai oleh mereka yang ultra kiasu. Kewujudan orang Melayu dalam parti tersebut adalah satu permainan wayang kulit yang cuba dipertontonkan untuk mengaburi mata kita.

Kita jangan tertipu dengan permainan silap mata mereka. Kemunculan beberapa tokoh Melayu dan juga India yang dilantik dalam kepepimpinan parti mereka hanyalah sandiwara untuk membuktikan bahawa mereka tidak chauvinis. Dengan sebab itu, bila ada orang Melayu yang agak berpengaruh menyertai mereka, maka cepat-cepat dilantik sebagai Naib Pengerusi. Mungkin selepas ini, sebagai timbalan pengerusi. Saya masih menunggu apakah orang Melayu akan dilantik sebagai pengerusi parti ultra kiasu suatu hari nanti? Tunggu dan lihat! Apapun, inilah strategi licik mereka yang kita masih terlepas pandang. Justeru, janganlah risau sangat pasal masalah dalaman MCA dan Gerakan. Apa yang penting yang perlu kita lakukan ialah mendedahkan tembelang parti ultra kiasu supaya orang Melayu dan orang Cina lain yang cintakan tanahair ini agar tidak tertipu.

Jika para pembaca tidak percaya apa yang saya katakan, cuba bangkitkan isu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk digilirkan di kalangan pelbagai kaum dalam pakatan mereka atau dalam Barisan Nasional? Saya yakin, bukan sahaja parti ultra kiasu ini akan terkinja-kinja, malahan mereka yang tidak berkaitan dengan parti ultra kiasu ini juga akan bersatu bersama parti ultra kiasu ini menentang keputusan tersebut.

Pokoknya, Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh terlepas kepada kaum lain. Pada hemat saya, siapapun yang memerintah Pulau Pinang antara ketiga parti ini adalah tidak penting. Yang penting orang Melayu tidak boleh menjadi Ketua Menteri di sana. Sebarang percubaan dan usaha akan ditentang habis-habisan.

Justeru, saya tidak hairan dengan apa jua krisis yang melanda dalam parti-parti politik bangsa saya. Benar, mereka nampak seolah-olah berpecah. Mereka bertikam lidah sehingga gamat. Tetapi sebenarnya, mereka bersatu dalam senyap. Parti ultra kiasu ini akan lantang mendesak, mengkritik dan menghentam. Tetapi itu bukan hentaman kosong. Siapakah yang bekerjasama secara senyap? Dua parti komponen ini akan senyap-senyap menyampaikan kepada BN bahawa tuntutan dan desakan ini perlu dipenuhi. Jika tidak, undi akan lari, orang Cina akan marah dan beralih arah. Itulah sebenarnya mesej dalam PRU 12. Inilah yang saya katakan bersatu secara senyap walaupun di luar nampak berpecah.

Begitulah juga beruntungnya MCA dan Gerakan yang dilihat lunak dengan kerajaan. Orang Melayu pula akan memberi sokongan kepada mereka tanpa berbelah bahagi kerana itulah sikap Melayu di bumi Melayu. Akur kepada arahan pimpinan. Sanggup ketepikan calon sebangsa seagama kerana mereka diajar supaya taat kepada pemimpin. Perkara ini telah berlaku sejak zaman feudal lagi, pantang Melayu menderhaka. Konotasi ini ada baik dan buruknya, terpulang kepada kita untuk menilai.

Parti politik Cina amat beruntung kerana di luar, ada yang lantang mengkritik, mendesak dan menuntut, pada masa sama di dalam ada yang bekerja dan memujuk. Tidak kira di mana negeripun mereka berada, sama di dalam pakatan atau dalam kerajaan. Mereka tetap untung.

Tidak seperti parti politik Melayu, di luar begitu lantang mengkritik, di dalam tidak ada seorang yang memujuk. Sebab parti politik Melayu (UMNO) hanya ada satu dalam kerajaan. UMNO keseorangan dalam kerajaan berhadapan dengan mereka yang lain, yang tidak habis-habis mendesak. Saya amat faham benar, kenapa kadang kala UMNO ini terpaksa mengalah, kerana UMNO tersepit, ibarat di luah mati bapak, ditelan mati emak. UMNO tidak ada pilihan sebab rakan sebangsa dan seagama tidak bersama mereka. Rakan sebangsa dan seagama yang lain berada di luar. Kerjanya, mencari salah orang, menghentam dan mengkritik, tetapi kurang pandai memujuk. Akhirnya siapa yang rugi? Inilah nasib Melayu di bumi Melayu.

Saya tidak yakin selepas ini BN akan berjaya untuk merampas kembali Pulau Pinang dan mungkin negeri lain yang telah terlepas, kerana parti ultra kiasu ini telah berjaya menyusun strategi yang mantap dan berjaya ‘mencairkan’ orang Melayu dengan gaya urus tadbir Umar Abdul Aziz dan slogan amar makruf nahi mungkar. Jika Melayu telah ‘cair’ maka tidak susahlah untuk mendapatkan kemenangan, sebab undi yang diperolehi telah solid.

Amat malang sekali parti-parti Melayu Islam hari ini, usahkan bersatu dalam senyap, perpecahan mereka ibarat berpatah arang berkerat rotan. Jalan damai teramat jauh. Mereka ibarat bercerai talak tiga. Tidak ada lagi rundingan. Rela mencari pasangan baru walaupun tidak sehaluan. Jika mahu rujuk semula sekalipun, terpaksa melakukan kahwin secara Cina buta. Rugi sungguh orang Melayu, mereka yang bercerai dan berpecah, Cina juga dapat nama dan sahamnya.

Jadi apa yang perlu kita buat sekarang? Memenuhi segala tuntutan dan desakan mereka untuk mendapatkan semula kepercayaan dan undi? Jawapannya memang sukar untuk diberikan, tetapi tidak mustahil. Umat Islam mesti bersatu supaya menjadi kuat. Bila kita kuat, maka susah juga orang lain pijak kepala kita. Masalahnya hari ini kita lemah, dengan sebab itu kaduk naik junjung.

Pilihan raya kecil Bagan Pinang, bukanlah satu ukuran untuk kita mengatakan bahawa BN telah berjaya memenangi hati Cina dan India. Banyak faktor lain yang perlu kita kaji. Jangan terlalu syok sendiri sebab nanti kita juga yang rugi. Apa yang penting sekarang ini ialah mencari jalan bagaimana kerajaan perpaduan boleh diwujudkan. Bagaimana hendak menyatukan antara UMNO dan PAS, kerana tonggak kekuatan Melayu Islam bergantung kepada dua parti politik ini.

Lupakanlah PKR buat sementara waktu. Sebenarnya parti ini tidak sekuat mana jika PAS tidak bersama mereka. Walaupun ia diterajui oleh orang Melayu, tetapi Melayu tetap rugi kerana di situ ada kumpulan ultra kiasu. Lihatlah apa yang berlaku di Selangor. Beruntungkah Islam dan PAS berada dalam pakatan itu? Saya yakin, jika PAS beralih arah, pakatan akan tersungkur dan akan kalah di mana-mana sahaja tempat yang ditandingi.

Saya masih boleh meramalkan orang Melayu PKR akan kembali kepada UMNO suatu hari nanti seperti yang kita lihat lompatan demi lompatan yang berlaku. Hari ini mereka gah kerana dendam telah terbalas, ultra kiasu bersama mereka. Persoalannya, terbelakah Islam dan Melayu, jika Melayu memerintah sekalipun? Jawapannya, Melayu tetap rugi di Selangor. Pendek kata, di manapun Melayu memerintah, mereka tetap rugi sebab mereka bercerai talak tiga dan tidak bersatu dalam senyap.

Saya jarang sekali melihat insiden-insiden buruk berlaku apabila berlaku pertembungan antara calon-calon Cina dengan parti ultra kiasu dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum. Berbanding dengan apabila berlaku pertembungan antara parti-parti politik Melayu. Kita selalu dengar, ada yang pecah kepala, dibaling batu/botol dan berbagai-bagai lagi. Rupa-rupanya kita berpecah luar dan dalam, sanggup putus saudara. Masih jauh untuk bersatu dalam senyap.
Posted by RIDHUAN TEE at 7:56 AM

Peristiwa 13 Mei


Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 adalah rusuhan kaum yang berlaku sebagai kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

latar belakang

[sunting] Isu perkauman dalam pilihan raya 1969

Isu-isu perkauman yang menyentuh emosi dan sentimen menjadi tema utama sepanjang kempen pilihanraya yang telah menaikkan semangat kaum-kaum di Malaysia. Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka.

Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya 1969. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Perikatan telah kehilangan majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.

Sebab terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969 adalah perarakan kemenangan pihak pembangkang. Penyokong-penyokong Parti Gerakan telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

[sunting] Pembangkang meraikan kemenangan

Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.

Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris.

Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.

[sunting] Perarakan kematian Cina

Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.

Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tapi permohonan maaf sudah terlambat.

[sunting] Rumah Menteri Besar Selangor

UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua-dua pihak. Perarakan ini tidak dirancang.

Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato' Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu isyarat lampu hijau dari Dato' Harun Idris untuk mengamuk. [petikan diperlukan]

Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan tersebar dan meluap-luap. Jam 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer dari rumah Menteri Besar Selangor.

4.00 petang dua penunggang motosikal Cina yang melalui Jalan Kampung Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari PKM dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina.

Rusuhan besar terjadi. Perintah darurat dikeluarkan, semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.

[sunting] Rejimen Renjer

Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan askar dari Rejimen Renjer ambil alih. Malangnya pasukan ini terdiri dari Melayu, Iban, Cina, India dan lain-lain turut menembak orang-orang Melayu dan menyebabkan orang Melayu semakin meradang. Ketua Rejimen Renjer dikatakan seorang Cina.

Pemuda-pemuda Melayu yang mempertahankan Kampung Baru dan yang lain-lain mengamuk merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Rejimen Renjer. Beberapa das turut ditujukan ke arah rumah Menteri Besar Selangor.

[sunting] Askar Melayu

Akhirnya Regimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kampung Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar. Pentadbiran diambil-alih oleh Askar Melayu. Malangnya beberapa askar Askar Melayu turut masuk ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana. Ada yang berkata askar tersebut berpakaian preman.

Ramai orang Cina dibunuh dan dicampakkan ke dalam lombong bijih timah. Konon ada rakaman televisyen, beberapa pemuda Cina ditangkap, dibariskan di tepi lombong dan dibunuh. Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada bukti yang diedarkan mengenai rakaman ini.

[sunting] Panggung Odeon

Pemuda-pemuda Cina dari kongsi-kongsi gelap telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut ramai yang mati. Ini termasuklah dua orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang.

Seorang polis bernama Rahim yang tinggal di Kuala Lumpur yang turut menonton wayang di Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura-pura mati. Beliau masih hidup hingga sekarang. Akibat daripada tindakan sebegini, orang-orang Melayu mulai bertindak balas, dan dikatakan kepala orang Cina yang dibunuh diletakkan di atas pagar .

Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang datang ke Kuala Lumpur turut terperangkap dan terkejut dengan rusuhan kaum yang tidak disangka-sangka pada 13 Mei itu. Beliau turut melangkah-langkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas jalan.

Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kampung Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selendang Merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.

Ada 4 kiai di sekitar Kampung Baru mengedarkan air jampi dan tangkal penebat, iaitu ilmu kebal dengan harga yang agak mahal . Sebenarnya mereka mengambil kesempatan daripada keadaan cemas tersebut. Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang-terbang. Apa yang pasti, Askar Melayu sahaja yang telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu.

Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa. Cuma ada sedikit di Melaka. Di Betong ada tembakan oleh PKM.

[sunting] Angka korban

Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 2,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei. [1]

[sunting] Di mana Tunku

Ketika itu (13 Mei 1969), Tunku Abdul Rahman baru pulang dari Alor Star meraikan kemenangan beliau di sana.

6.45 petang Encik Mansor selaku Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur memaklumkan kejadian pembunuhan kepada Tunku Abdul Rahman. Darurat diisytiharkan pada jam 7.00 malam 13 Mei 1969. Ada khabar angin mengatakan Tunku sedang bermain mahjung. Dalam tulisannya, Tunku menafikan hal tersebut.

[sunting] Mageran

Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 di seluruh negara dan Mageran dibentuk di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak. Parlimen dibubarkan.

Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan Tunku Abdul Rahman dipersalahkan oleh orang Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya. Berikutan itu Tunku meletakkan jawatan pada tahun 1970. Buku "Dilema Melayu" ("Malay Dilemma") oleh Tun Dr Mahathir telah diharamkan. Dikatakan gandingan Tun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim memburuk-burukkan Tunku Abdul Rahman.

Keadaan akhirnya dapat dikawal dan beberapa keputusan telah diambil bagi mencari jalan penyelesaian termasuklah penubuhan beberapa badan seperti Majlis Perundingan Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara telah diciptakan.

Ternyata langkah Tunku Abdul Rahman penyingkiran Singapura dari Malaysia tidak menyelesaikan masalah perkauman. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan kemuncak kemarahan lama orang Melayu kerana mereka miskin di tanah air mereka sendiri.

Tahun 1969 pilihan raya diadakan semula dan memberi kemenangan 2/3 semula kepada kerajaan yang memerintah. Barisan Nasional dibentuk. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibentuk bagi mengurangkan pengundi Cina dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Beberapa ahli politik yang dianggap berbahaya telah ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Persempadanan pilihan raya yang lebih bijaksana dan seimbang telah dilaksanakan. Sistem demokrasi, pilihan raya dan agihan kek ekonomi (hak-hak keistimewaan bumiputera) mendapat tafsiran semula.